Saturday, July 31, 2010

ANTARA BENCI DAN RINDU

Sinopsis : ANTARA BENCI DAN RINDU


Penceraiannya dengan Yusrizal membawanya ke kota London. Lima tahun kemudian dia pulang semula ke tanah air untuk menabur bakti sebagai pensyarah di UUM. Pertemuan secara tak sengaja dengan bekas adik iparnya membuatkan hubungan dengan mertuanya kembali bertaut. Yusrizal yang tak ingin dilihatnya muncul kembali di hadapan matanya. Luka yang tak pernah sembuh semakin parah.


Demi menyelamatkan nyawa ibu tersayang, dia kembali semula kepada Yusrizal. Yusrizal yang telah berubah daripada seorang lelaki yang pemabuk, panas baran dan kaki perempuan kepada lelaki yang penyayang, gemar tersenyum dan sering mengusik telah membuatkannya keliru. Benarkah ini Yusrizal yang sama yang pernah dinikahinya lima tahun yang lalu?


Tatkala dia menerima Yusrizal semula, Daniel (kekasih lamanya) menagih cintanya. Dia yang mengetahui Daniel telah bertunang dengan Masyitah tidak sanggup melukakan hati seorang perempuan kerana dia pernah merasai betapa peritnya hati dilukai oleh seorang perempuan lain.


Namun kemunculan semula Anne, perempuan yang menjadi punca keretakan rumah tangganya dahulu benar-benar menguji keutuhan diri.


Dia berada di dalam dilema. Haruskah dia membiarkan sahaja apa yang ada di hadapan mata atau berundur diri tanpa mengambil kira kemahuan hatinya.  Antara Benci dan Rindu ada jawapannya.

CINTA JANGAN SEMBUNYI

Sinopsis:  CINTA JANGAN SEMBUNYI


SEBABKAN peristiwa pahit yang mengisi ruang hidupnya dahulu, Zuha kini menjalani destinasi hidupnya dengan penuh trauma. Kecurangan teman lelakinya, Faizul bersama rakan sekelasnya, Rina dan cacian yang diterima daripada teman sebiliknya, Ira menambahkan lagi beban yang dipikul. Kisah duka itulah yang dibawa ke mana-mana. Lantaran itu, Zuha menjadi takut dan tidak berani membuka pintu hatinya kepada mana-mana kaum Adam. Baginya, sahabat baik atau kawan lelaki memang tidak boleh dipercayai. Biarlah dia hidup dalam dunia sepinya. Dia sanggup dianggap sombong asalkan hatinya elok terpelihara.


Namun kehadiran bekas teman sekolahnya, Idzhan mengajarnya kembali erti kasih dan sayang. Rupa-rupanya hati jadi tenang bila diselubungi cinta.


Apatah lagi, kemaafan itu menjadi penawar yang cukup indah... Malangnya, bahagia itu juga seakan jauh. Kehadiran Ira dan kemunculan Faizul menambah semula derita di hati Zuha. Adakah dia memang tidak layak untuk melihat bunga-bunga cinta itu berkembang mekar? Haruskah dia sendiri hingga akhir nanti?

CINTA TAK BERALIH

Sinopsis:


BILA hati asyik diusik rindu, jiwa sering dibelai debaran... perasaan apa lagi yang sedang dilanda gelora kalau bukan cinta? Larra Kirana bahagia dengan rasa indah yang dimilikinya itu. Menatap Shaqril yang sering lalu-lalang di hadapan kedai dobinya dari jauh sudah cukup untuk merawat kerinduan itu. Berbalas senyum sahaja sudah hebat dia diamuk oleh rasa gemuruh. Tidak sangka hubungan mereka terjalin selepas Shaqril menghantar kemeja untuk dicuci.

Detik demi detik memekarkan cinta di hati, sedangkan Shaqril sebenarnya dalam dilema. Kasihnya melimpah untuk Larra, walhal dia tunangan Balqis. Jodoh yang diatur keluarga tidak mampu dibantah. Hari yang dilalui amat menyeksakan. Shaqril berharap sesuatu akan terjadi agar cintanya terhadap Larra tidak berakhir. Moga Larra tidak menyalahkannya andai rahsia tersingkap. Namun dia harus berlaku jujur, tak ingin melukai hati Larra lebih dalam lagi.

JAUH KAU PERGI

Sinopsisi :
Aku tidak pernah memilih dia sebagai pelindungku. Aku tidak pernah menganyam impian untuk hidup bersamanya. Kasih terhadapnya tidak pernah lebih dari yang sepatutnya. Sesungguhnya dia tidak pernah ada dalam perancangan masa depanku. Dia hanya seorang sahabat. Namun sesuatu berlaku, menyebabkan haluan kami bertemu. Tiba-tiba aku memilih dia. Aku mula mengait benang rindu buatnya. Aku kasihkan dia lebih dari segalanya. Tetapi dia, ternyata bukan untukku. Aku bukan pilihan dia! Tetapi...menyerah kepada takdir itu bukannya bererti menyerah kalah, kerana manusia ditakdirkan untuk menang, bukan?

Rif ~ Muliakah hubungan yang dipenuhi pendustaan? Sucikah cinta yang tercemar keraguan? Untuk dia... aku sanggup hadapi segala-galanya. Kerana dia, aku rela mempertaruhkan nyawa. Hanya untuk dia...aku reda. Ada apa dengan dia yang menjadikan semuanya serba tidak kena?
Afi ~ Aku tidak mampu bersaing dengan masa silam, untuk terus melangkah ke hadapan. Betapa Jauh Kau Pergi....namun aku tetap setia menanti...

MAKNA CINTA

Sinopsis : MAKNA CINTA


SEPANJANG zaman remajanya, Zulaikha sering dicemuh, dihina dan diherdik rakan-rakannya kerana dikatakan anak luar nikah. Yusuf antara mereka yang sering menjatuhkan air mukanya.
Hanya kepada nenek tercinta, dia memperoleh ketenangan dan semangat dalam mengharungi liku-liku hidup.

Masa berlalu, Zulaikha diterima sebagai siswi di sebuah universiti tempatan. Dia mula bangkit menjadi gadis yang cekal dan dambaan ramai siswa yang terpikat akan kecantikannya. Tidak ketinggalan Yusuf yang merupakan pelajar senior di situ.

Ke mana sahaja dia berada, Zulaikha sering dibayangi wajah Yusuf. Lelaki itu benar-benar ingin memikatnya. Zulaikha rimas. Namun akhirnya, hati gadis itu cair jua. Perlahan-lahan dia mula menaruh hati terhadap Yusuf.

Ketika pulang cuti semester, keluarga Yusuf datang ke rumah untuk meminangnya. Diri mana yang tidak girang bila dia mengharapkan untuk disatukan dengan lelaki itu? Namun, hatinya tersentap bila pinangan itu bukan daripada Yusuf, tetapi daripada abang lelaki itu pula.