Sunday, December 26, 2010

Cinta Kau dan Aku

"Apa, jadi driver? Hei Risya, dah tak ada jawatan lain ke kat tempat kerja Milah tu sampaikan jawatan driver pun kau terima? Dah-dah, balik kampung aje. Tolong mak kat warung lagi bagus. Apa, kau ingat kau tu jantan ke nak jadi driver", marah Mak Timah.

"Kalau saya katakan saya tak kisah untuk memperisterikann awak? Dan saya juga sebenarnya sudah mula menyukai awak, adakah awak akan berubah fikiran dan menerima saya?" Soal Farish Hakimi dengan wajah serius.

"Sayang, dari hati yang tulus abang nak beritahu sayang yang abang sungguh bahagia dapat menjadi suami sayang. Abang harap, Risya boleh terima abang dalam hidup Risya. Percayalah, abang ikhlas mengambil Risya sebagai isteri abang."

Sebaik sahaja kaki Farish Hakimi hendak melangkah masuk ke balai berlepas, dia dikejutkan dengan suara yang amat dikenalinya. Suara yang sememangnya amat disayangi, suara yang menyebabkan dia ketawa, suara yang menjadikan hidupnya ceria, suara yang sentiasa berbisik manja di telinganya. Tidak, dia tidak perlu untuk mendengar suara itu lagi. Bukankah suara itu yang telah merobek hatinya? Bukankah suara itu yang telah meragut kepercayaannya?


*** NOVEL KE 2 SITI ROSMIZAH ***

Andai Itu Takdirnya

Aleya, seorang gadis yang cantik dan berlatarbelakangkan keluarga sederhana, dalam diam menyimpan perasaan pada seorang anak tokoh korporat yang ternama yang juga merupakan rakan sekuliahnya di universiti di United Kingdom, Syed Adam Aizril. Syed Adam Aizril, wajahnya yang tampan menjadikan dia kegilaan ramai gadis. Limpahan kemewahan meletakkan ego dan kesombongan di singgahsana yang paling tinggi. Mentalitinya yang mementingkan darjat dan kedudukan telah menutup pintu hatinya untuk mendengar bicara hatinya sendiri yang pada ketika telah mula ada getaran buat Aleya.

"Salahkah Leya mencari sedikit bahagia? Mengapa Leya tak pernah dapat merasainya? Hina sangatkah Leya sebab beribu dan berbapakan orang miskin? Memang Leya miskan tapi Leya juga jugak ada maruah diri."

Terjadinya suatu perkara yang menyatukan mereka. Tapi kerana terlalu ego, sombong dan mementingkan darjat, begitu hina Aleya dilayan Syed Aizril.

"Saya telah menjadi balu sebelum masanya dan anak-anak saya juga telah menjadi anak yatim sebelum masanya. Sembilan bulan saya mengandung mereka tanpa suami di sisi. Saya pekakkan telinga mendengar cemuhan masyarakat sekeliling."

Kuasa cinta, tiada siapa yang dapat menghalang. Mereka kembali bersatu atas penyesalan Syed Aizril. Ketika ingin menyulam bahagia dan menyemai kasih antara dua hati, munculnya Sharifah Emilin, sepupu kepada Syed Aizril yang membuat onar. Sharifah Emilin yang penuh di hatinya dengan ego, bongkak dan iri hati ingin menunaikan dendamnya pada Aleya yang dianggap merampas Syed Aizril yang konon dianggap sebagai kekasihnya. Namun, di hati Syed Aizril, hanya Aleya yang bertakhta.

"You dengar sini Zril, dendam I tak habis kat sini. I bersumpah, I akan pastikan hidup you musnah...musnah sebagaimana you musnahkan hidup I. I takkan lepaskan you. You tetap akan jadi milik I. I janji Zril, I janji."

Namun, ada kalanya cinta mereka teruji di tengah jalan. Kerana keegoan seorang lelaki yang menuncak, Syed Aizril telah melakukan kekhilafan yang hanya merugikan dirinya sendiri dan hampir-hampir menyebabkan dia kehilangan cinta sucinya.

"Leya jangan tinggalkan abang. Kembalilah sayang, kembalilah. Jangan teruskan perjalanan itu. Berilah abang peluang untuk membahagiakan Leya. Hentikan perjalanan itu sayang, pandanglah ke belakang walaupun cuma seketika."

Salahkah Aleya kerana memilih Syed Aizril dalam hidupnya?

"Namun dia terleka sebentar dengan kebahagiaan palsu yang diciptakan oleh suaminya. Habis manis sepah dibuang. Dia akhirnya menjadi pengemis cinta pada suaminya sendiri. Akhirnya dia telah terluka untuk kedua kalinya tetapi kali ini kelukaannya lebih dalam hingga meragut nyawanya sendiri. Itulah kisah perempuan yang bernama Nur Aleya binti Idris."

Cinta...cinta telah menjadikan Aleya, gadis yang pendiam dan berperibadi sederhana, seorang yang kuat, tabah, tegas dan berani, walau dalam hatinya penuh cinta dan kasih.

"Selama aku miniti liku-liku kehidupan yang penuh onak dan duri ni, aku tidak pernah pasrah dalam hidupku. Andai itu takdir-Nya sebelum menggapai bahagia aku redha. Namun sampai waktu apabila aku tidak mampu bertahan lagi, hatiku lebih keras dari kerikil."

Cinta...cinta telah mengubah Syed Aizril yang ego dan sombong kepada seorang yang sangat menghargai cinta dan kasih sayang.

"Leya, abang janji dengan nama ALLAH abang akan menjaga Leya hingga ke nafas yang terakhir. Percayalah sayang. Leya takkan keseorangan lagi. Abang sayang Leya dengan penuh hati abang."


**** NOVEL PERTAMA SITI ROSMIZAH*****

Cinta Dari Istana



Melangkah lamunan membilang bahagia... Detik itu apa maknanya?

Bukan kehendaknya melangkah keluar dari istana. Tapi dia terpaksa, maka diikutkan juga langkah kaki. Lalu takdir membawanya ke pintu pagar rumah seorang rakyat biasa.

“Okey, Piya. Tapi awak tak rasa ke yang awak ni terlalu muda untuk jadi pengasuh kepada seorang budak perempuan?” Ra’if Arjuna mengasak soalan.
Pengasuh? Tatkala itu bermulalah episod penyamaran, pendustaan yang terpaksa direncanakan oleh Puteri Mahkota Nur Shaafiah demi melindungi identiti diri. Menjadi seorang pengasuh anak kecil atau lebih tepat lagi orang gaji di rumah rakyat biasa itu merupakan satu penderitaan jiwa buat sang puteri. Dia tidak tahu membezakan apa itu senduk dan sudip, jadi bagaimana dia mahu menguruskan semuanya? Mujur saja dia bijak bermain dengan situasi sehingga dia kerap kali terselamat daripada bala yang dicipta tuan rumah, Ra’if Arjuna, duda beranak satu itu.

Bila hati disapa cinta, sang puteri mula menyangkal rasa. Mana mungkin puteri raja sepertinya jatuh cinta kepada rakyat biasa. Pantas dia menolak kata hati. Namun dia tewas pada perasaan cinta dan kasih sayang yang kian bersemi. Misi menawan hati Ra’if Arjuna tidak semudah disangka. Riaknya seperti suka, namun lafaz tidak pernah bersuara membuatkan sang puteri terus-terusan cuba mentafsir hati rakyat yang kerasnya mengalahkan tembok-tembok istana.

Apakah penyudahnya? Haruskah sang puteri melupakan saja atau haruskah terus mengejar cintanya? Atau mungkinkah tiada siapa yang mampu mengubah hakikat kenyataan bahawa tempat sang puteri tetaplah di istana, bukannya di teratak rakyat biasa!
Memangkah mimpi menghitung gembira... Detik itu cinta maknanya!

Thursday, December 16, 2010

DOSA SEMALAM

Hanim terbuang dari naungan kasih ayah dan bonda akibat perbuatan keji Ariff yang merogolnya hingga mengandung. Mujurlah ada insan yang sudi menghulurkan tangan, menyambut Hanim dari terus rebah dalam menghadapi dugaan dan cabaran hidup. Di Rumah Kasih Sayang, Hanim membina semula semangatnya yang menghilang.
Kehadiran permata hati mengubat duka, walaupun kelahirannya tidak sah di sisi undang-undang. Kasih dan sayang dicurahkan kepada Aidil, namun ada batasnya.

Enam tahun memperkasakan diri, Ariff tiba-tiba muncul semula lalu mengocak ketenangan hati  Hanim. Hanim tidak betah melarikan diri daripada Ariff kerana tuntutan kerja memaksa mereka untuk bekerja bersama-sama.

Ariff yang sememangnya sedari mula mencintai Hanim cuba untuk menggapai semula kasih Hanim demi menjernihkan suasana. Berjayakah Ariff menghapuskan dosa semalamnya? Akan terbukakah pintu hati Hanim untuk memaafkan Ariff? Bersediakah Ariff memikul tanggungjawabnya sebagai ayah kepada Aidil?

Semuanya bakal terjawab di dalam DOSA SEMALAM….

PENJARA RINDU

Kehadiran Farisya Hani di dalam hidup Haziq Denial hanyalah sekadar penyelamat kepada maruah keluarga lelaki itu apabila bakal isteri Haziq memilih untuk mengahwini lelaki lain di saat-saat akhir majlis akan berlangsung. Atas dasar itu, perhubungan mereka tidak berjalan dengan lancar.

Dengan kejadian beberapa insiden yang tidak disengajakan, bibit-bibit cinta mula berkembang mekar bak bunga di pagi hari. Dalam tak sedar, masing-masing sudah saling jatuh cinta.

Namun langit tidak selalunya cerah. Kebahagiaan yang diharapkan berkekalan terlerai sudah di pertengahan jalan. Kehadiran bekas kekasih Farisya Hani telah mengundang konflik yang ditunggu-tunggu oleh pihak ketiga yang sentiasa mencari peluang untuk mendekati Haziq Denial.

Keperitan hidup yang terpaksa ditanggung memaksa dendam mula membara di hati Farisya. Kealpaan akibat disihir membuatkan Haziq hanyut di dalam genggaman Tiara. Masih adakah peluang kedua untuk mereka? Atau… adakah rindu mereka akan terpenjara buat selama-lamanya?

Friday, August 20, 2010

GELAK TERGOLEK






Gelak_Tergolek

Sinopsis :  Gelak Tergolek
Lumrah kehidupan seseorang manusia itu mengalami pelbagai peristiwa pahit manis di dunia ini. Begitu juga dengan Rahman. Pelbagai kisah lucu yang terpaksa dihadapinya dalam usaha mengahwini kekasihnya, Maimun.

Bermula dengan ibunya yang dipatuk angsa ketika datang merisik Maimun hinggalah rombongan pengantin yang membawa Maimun telah tersilap ke rumah yang mengadakan kenduri bersunat di kawasan kejiranan rumah Rahman.

Tak cukup dengan itu, Rahman terpaksa berhadapan dengan bapa mertuanya, Pak Brahim yang agak alim orangnya, sedangkan Rahman alim-alim kucing sahaja. Pelbagai kisah haru-biru yang berlaku di rumah Pak Brahim setelah Rahman menjadi menantunya.

Ikutilah juga kisah ketua marhaban, Hajah Meriam yang terpaksa merempit dengan babi semata-mata ingin ke kenduri potong jambul anak kembar Rahman.

Gelak Tergolek… wajib dimiliki!

KIRIMKAN AKU MALAIKATMU


Sinopsis : Kirimkan Aku 


Terhimpit dengan status sebagai anak angkat di dalam keluarga, Nurul rela mengekang perasaan cintanya pada Abang Hakim. Tambahan pula dengan kehadiran Ain Najwa yang disangkanya kekasih Abang Hakim. Dia tidak mahu menjadi orang ketiga yang menghancurkan kebahagiaan Abang Hakim dan Ain Najwa.

Hakim pula tidak berani meluahkan cintanya pada Nurul. Sangkanya Nurul mungkin akan terkejut lantas bertindak menjauhkan diri daripadanya. Sementelah Nurul kerap mengucapkan sayangnya pada Hakim tak ubah seperti sayang seorang adik pada abangnya.

Masing-masing memendam rasa. Masing-masing bermain dengan emosi sendiri.

Kehadiran Firdaus telah berjaya mencuit hati perempuan Nurul. Demi melupakan cintanya pada Abang Hakim, Nurul membuka pintu hatinya untuk Firdaus.

Gerhana di hati muncul apabila umi berkeras supaya Nurul dijodohkan dengan Hakim. Nurul tersepit di antara cintanya terhadap Firdaus dan budi yang ditaburkan oleh umi dan abah yang sudi mengambilnya sebagai anak angkat.

Sanggupkah Nurul mengecewakan Firdaus demi membalas budi keluarga Hakim? Sanggupkah Nurul mengetepikan perasaannya dan menerima Hakim sebagai suaminya? Bagaimana pula dengan penerimaan Firdaus?

Tuesday, August 17, 2010

BINI AKU TOMBOY KE?

Sinopsis bini aku tomboy ke?

Seorang Hawa yang berperwatakan seperti Adam, mencari erti sebenar fitrah semula jadinya. Sofi Zarill Muhammad yang lebih selesa membahasakan dirinya sebagai Zack dan berpenampilan seperti lelaki: rambut pendek, cap, t-shirt dan seluar jean.
Perjalanan hidupnya bermula apabila dia ketandusan seorang diri di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Nasibnya baik apabila bertemu dengan Abang Din, pelayan di sebuah kedai makan yang sudi membantunya sementara mendapatkan bantuan. Menumpang sementara di rumah Abang Din di “Sting Garden” (setinggan) membuahkan suatu perasaan yang selama ini tidak pernah terdetik di hatinya tatkala dia bersama kaum Adam. Bagaikan ada arus eletrik yang menjalar di segenap urat sarafnya tatkala berdekatan dengan Abang Din. Malah, Abang Din turut sama merasainya, hingga menimbulkan kekeliruan di hati lelaki itu. “Ish, takkan aku ni gay kut?”
Pulang semula ke pangkuan keluarga dan menguruskan butik sendiri, membuahkan rindu dendam yang tidak tertanggung terhadap Abang Din, hinggakan Azim disangkakan Abang Din. Zack mula keliru dengan pendiriannya sebagai seorang yang macho. “Aku ni dah jatuh cinta ke?”
Bimbangkan perlakuannya yang agak kelelakian itu, membuatkan mama Zack (Datin Mas @ Datin Gold) ingin menjodohkan Zack dengan Azim, teman sepermainannya sedari kecil lagi. Namun Azim dipandang tak ubah seperti sahabat karibnya dan tiada langsung sebarang “feeling” terhadap Azim. Tambahan pula Azim adalah playboy tersohor dengan ayat-ayat jiwanya yang mampu mencairkan hati setiap wanita, kecuali Zack. “Aku dengan kau, Zack? No way, beb!”
Payah ni! Tomboy dan playboy…. Bagaimanakah kesudahan perjalanan hidup Zack? Dapatkah dia mencari fitrah semula jadinya? Dapatkah dia melepaskan rindu dendamnya pada Abang Din? Bagaimana pula dengan Abang Din? Sampai bila dia dikepung dengan kekeliruan? Azim pula? Sampai bila dia akan menjadi playboy tersohor?
Segala persoalan bisa terjawab di dalam… BINI AKU NI TOMBOY KE?

Sunday, August 15, 2010

BULAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan tahun ni mula 11 Ogos 2010. Anak-anak 5 orang dah pose. Yang bongsu je baru nak belajar pose setengah hari... baru umo 4 tahun.  Macam-macam gelagat, nak bangun sahur liat, makan macam orang bercinta, termenung sana termenung sini.  Hari ke-5 pose, masak sup ayam halia, telur dadar n sambal ikan bilis campur kacang.
Semalam buka pose dengan nasi, masak bihun goreng, assam pedas pari dan sambal ikan bilis.  Masa buka pose tak sabar semuanya, tekan channel tv nak tunggu azan berkumandang.  Macam-macam iklan sume keluar. Anak-anak dah dok telan air liur.  Lepas azan,  mmmm.... tak ingat dunia.  Yang pasti sume bangun! bangun g Solat,  kalau din biarkan  jadi ular melingkar bila kekenyangan...

Friday, August 13, 2010

TAK SECANTIK HUSNA



Sinopsis : TIDAK SECANTIK HUSNA


LUQMAN HARIEZ disuruh memilih salah seorang daripada tujuh cucu perempuan mak tok untuk dijadikan isteri, sementelah hatinya masih kosong. Malangnya, dia cuma diberi masa seminggu untuk mengenali hati budi mereka. Semua ini dilakukan demi menghormati permintaan opah dan mak tok. 

Sejak mula lagi, Hariez dapat merasakan bahawa Husna, gadis yang paling cantik dan lemah lembut, seakan-akan sudah mengisi ruang di hatinya. Pada masa yang sama, dia turut terpaut pada Tija, cucu perempuan bongsu mak tok yang bersifat keanak-anakan, namun hatinya penuh dengan kasih sayang dan keceriaan. Bila masanya tiba, Hariez telah memilih salah seorang daripada mereka berdua. Namun pilihannya telah mendapat tentangan hebat. Bagi Hariez, itulah pilihan yang paling tepat dan dia tidak mahu berganjak lagi dari keputusannya.

Dapatkah Hariez dan pilihannya disatukan? Mampukah perkenalan yang singkat menghidupkan suasana indah dalam rumah tangganya? “Cinta datang sendiri, ia satu anugerah dan aku tak perlukan sebab untuk mencintainya. Setiap kali aku pandang wajahnya, aku tahu itulah wajah kesayanganku. Aku cuma mencari kasih sayang.

Selamat berpuasa

Salam Ramadhan....

Semoga Ramadhan tahun ini lebih bagus dari yang lepas.  Pada bulan yang mulia ini mari kita tingkatkan ibadah, Lengkapkan ibadah dengan tingkah laku yang sopan.  Jangan mengumpat.  Lebihkan zikir kuatkan iman lebihkan kebaikan dan ketaqwaan.  Semoga kita dan keluarga mendapat keberkatan di bulan Ramadhan.  

Saturday, July 31, 2010

ANTARA BENCI DAN RINDU

Sinopsis : ANTARA BENCI DAN RINDU


Penceraiannya dengan Yusrizal membawanya ke kota London. Lima tahun kemudian dia pulang semula ke tanah air untuk menabur bakti sebagai pensyarah di UUM. Pertemuan secara tak sengaja dengan bekas adik iparnya membuatkan hubungan dengan mertuanya kembali bertaut. Yusrizal yang tak ingin dilihatnya muncul kembali di hadapan matanya. Luka yang tak pernah sembuh semakin parah.


Demi menyelamatkan nyawa ibu tersayang, dia kembali semula kepada Yusrizal. Yusrizal yang telah berubah daripada seorang lelaki yang pemabuk, panas baran dan kaki perempuan kepada lelaki yang penyayang, gemar tersenyum dan sering mengusik telah membuatkannya keliru. Benarkah ini Yusrizal yang sama yang pernah dinikahinya lima tahun yang lalu?


Tatkala dia menerima Yusrizal semula, Daniel (kekasih lamanya) menagih cintanya. Dia yang mengetahui Daniel telah bertunang dengan Masyitah tidak sanggup melukakan hati seorang perempuan kerana dia pernah merasai betapa peritnya hati dilukai oleh seorang perempuan lain.


Namun kemunculan semula Anne, perempuan yang menjadi punca keretakan rumah tangganya dahulu benar-benar menguji keutuhan diri.


Dia berada di dalam dilema. Haruskah dia membiarkan sahaja apa yang ada di hadapan mata atau berundur diri tanpa mengambil kira kemahuan hatinya.  Antara Benci dan Rindu ada jawapannya.

CINTA JANGAN SEMBUNYI

Sinopsis:  CINTA JANGAN SEMBUNYI


SEBABKAN peristiwa pahit yang mengisi ruang hidupnya dahulu, Zuha kini menjalani destinasi hidupnya dengan penuh trauma. Kecurangan teman lelakinya, Faizul bersama rakan sekelasnya, Rina dan cacian yang diterima daripada teman sebiliknya, Ira menambahkan lagi beban yang dipikul. Kisah duka itulah yang dibawa ke mana-mana. Lantaran itu, Zuha menjadi takut dan tidak berani membuka pintu hatinya kepada mana-mana kaum Adam. Baginya, sahabat baik atau kawan lelaki memang tidak boleh dipercayai. Biarlah dia hidup dalam dunia sepinya. Dia sanggup dianggap sombong asalkan hatinya elok terpelihara.


Namun kehadiran bekas teman sekolahnya, Idzhan mengajarnya kembali erti kasih dan sayang. Rupa-rupanya hati jadi tenang bila diselubungi cinta.


Apatah lagi, kemaafan itu menjadi penawar yang cukup indah... Malangnya, bahagia itu juga seakan jauh. Kehadiran Ira dan kemunculan Faizul menambah semula derita di hati Zuha. Adakah dia memang tidak layak untuk melihat bunga-bunga cinta itu berkembang mekar? Haruskah dia sendiri hingga akhir nanti?

CINTA TAK BERALIH

Sinopsis:


BILA hati asyik diusik rindu, jiwa sering dibelai debaran... perasaan apa lagi yang sedang dilanda gelora kalau bukan cinta? Larra Kirana bahagia dengan rasa indah yang dimilikinya itu. Menatap Shaqril yang sering lalu-lalang di hadapan kedai dobinya dari jauh sudah cukup untuk merawat kerinduan itu. Berbalas senyum sahaja sudah hebat dia diamuk oleh rasa gemuruh. Tidak sangka hubungan mereka terjalin selepas Shaqril menghantar kemeja untuk dicuci.

Detik demi detik memekarkan cinta di hati, sedangkan Shaqril sebenarnya dalam dilema. Kasihnya melimpah untuk Larra, walhal dia tunangan Balqis. Jodoh yang diatur keluarga tidak mampu dibantah. Hari yang dilalui amat menyeksakan. Shaqril berharap sesuatu akan terjadi agar cintanya terhadap Larra tidak berakhir. Moga Larra tidak menyalahkannya andai rahsia tersingkap. Namun dia harus berlaku jujur, tak ingin melukai hati Larra lebih dalam lagi.

JAUH KAU PERGI

Sinopsisi :
Aku tidak pernah memilih dia sebagai pelindungku. Aku tidak pernah menganyam impian untuk hidup bersamanya. Kasih terhadapnya tidak pernah lebih dari yang sepatutnya. Sesungguhnya dia tidak pernah ada dalam perancangan masa depanku. Dia hanya seorang sahabat. Namun sesuatu berlaku, menyebabkan haluan kami bertemu. Tiba-tiba aku memilih dia. Aku mula mengait benang rindu buatnya. Aku kasihkan dia lebih dari segalanya. Tetapi dia, ternyata bukan untukku. Aku bukan pilihan dia! Tetapi...menyerah kepada takdir itu bukannya bererti menyerah kalah, kerana manusia ditakdirkan untuk menang, bukan?

Rif ~ Muliakah hubungan yang dipenuhi pendustaan? Sucikah cinta yang tercemar keraguan? Untuk dia... aku sanggup hadapi segala-galanya. Kerana dia, aku rela mempertaruhkan nyawa. Hanya untuk dia...aku reda. Ada apa dengan dia yang menjadikan semuanya serba tidak kena?
Afi ~ Aku tidak mampu bersaing dengan masa silam, untuk terus melangkah ke hadapan. Betapa Jauh Kau Pergi....namun aku tetap setia menanti...

MAKNA CINTA

Sinopsis : MAKNA CINTA


SEPANJANG zaman remajanya, Zulaikha sering dicemuh, dihina dan diherdik rakan-rakannya kerana dikatakan anak luar nikah. Yusuf antara mereka yang sering menjatuhkan air mukanya.
Hanya kepada nenek tercinta, dia memperoleh ketenangan dan semangat dalam mengharungi liku-liku hidup.

Masa berlalu, Zulaikha diterima sebagai siswi di sebuah universiti tempatan. Dia mula bangkit menjadi gadis yang cekal dan dambaan ramai siswa yang terpikat akan kecantikannya. Tidak ketinggalan Yusuf yang merupakan pelajar senior di situ.

Ke mana sahaja dia berada, Zulaikha sering dibayangi wajah Yusuf. Lelaki itu benar-benar ingin memikatnya. Zulaikha rimas. Namun akhirnya, hati gadis itu cair jua. Perlahan-lahan dia mula menaruh hati terhadap Yusuf.

Ketika pulang cuti semester, keluarga Yusuf datang ke rumah untuk meminangnya. Diri mana yang tidak girang bila dia mengharapkan untuk disatukan dengan lelaki itu? Namun, hatinya tersentap bila pinangan itu bukan daripada Yusuf, tetapi daripada abang lelaki itu pula.

Friday, July 30, 2010

‎"Setiap kata yang ditutur perlu ada kejujuran, setiap perbuatan yang dilakukan perlu dengan keikhlasan, setiap perhubungan yang terjalin perlu ada kesetiaan, setiap insan yang berkasih-kasihan selalu ada perasaan sayang dan inginkan perhatian...."

COKE DAN SUNDAE



Boleh ke Coke dan sundae bercampur? Apa rasanya ye? Sedap ke? Boleh telan ke? Itulah yang terjadi apabila Azyan bertemu dengan Syakir.
Mereka berdua tak ubah seperti anjing dan kucing. Pantang bersua, pasti mereka akan berperang mulut. Cuma tak angkat senapang aje.
Azyan mendambakan seorang kekasih yang lebih gagah daripada pujaan hatinya, The Rock. Sementelah dia merupakan juara tae kwan do peringkat sekolah dan daerah. Tambahan pula, dengan didikan ala-ala tentera daripada ayahnya, Mejar Idris, Azyan merupakan seorang gadis yang tough dan maskulin. Tentulah dia mahukan seorang pria yang gagah perkasa, laksana pahlawan zaman dahulukala. Azyan dalam diam-diam menaruh hati terhadap Haziq, sepupu musuhnya, Syakir. Dia pernah melayangkan surat cinta buat Haziq tetapi tersalah ‘landing’ kepada Syakir pula. Dan itulah modal utama yang Syakir gunakan untuk memaksa Azyan menyertai kelab teaternya.
Syakir telah lama jatuh hati pada Azyan. Malangnya dia bukanlah mat jiwang karat. Dia sendiri geli untuk mengucapkan perkataan ‘I love you’ mahupun ‘sayang’ kepada Azyan. Satu sahaja caranya menarik perhatian Azyan: melalui kata-katanya yang pedas lagi berbisa.
Yang Azyan pula, slow nauzubillah! Dah banyak kali Syakir bagi hint, dia langsung tak perasan. Sedangkan semua orang tahu yang Syakir ada hati pada Azyan.
Bila agaknya Azyan yang gemarkan air Coke boleh ngam dengan Syakir yang sukakan aiskrim sundae?
Sebuah kisah cinta kelakar yang rugi jika tidak dimiliki

Sunday, July 25, 2010

LAFAZKAN KALIMAH CINTAMU




Tengku Aqilah, seorang anak yang di sisih oleh bapa kandungnya sendiri. Kecetekan iman Tengku Hisham menyebabkan beliau menyalahkan anak bongsunya sebagai punca kematiaan isterinya. Selama 13 tahun Tengku Aqilah hidup di perantauan membina kehidupannya sendiri. Selepas tamat belajar Tengku Aqilah berhajat untuk kembali semula ke pangkuan keluarganya namun kepulangannya itu telah membuka tirai luka dalam hidupnya.

Tengku Natasha yang tidak pernah padam api dendam terhadap adiknya, telah menggunakan tiket sebagai anak kesayangan Tengku Hisham, memperlekehkan Tengku Aqilah dengan memberikan Tengku Aqilah jawatan sebagai seorang penyambut tetamu merangkap tea lady di Syarikat milik keluarga mereka. Demi untuk menagih kasih seorang bapa Tengku Aqilah akur jua.

Tengku Ryan Ameer, jejaka tampan kacukan Inggeris melayu itu begitu angkuh dan sombong, di tambah pula dengan kedudukan bapanya, Tengku Hashim sebagai pemegang syer terbesar diSyarikat Megah Holdings. Kehadiran Tengku Aqilah di Syarikat itu begitu menjengkelkannya, sehinggakan mereka tidak boleh langsung bertembung muka pasti perang mulut akan meletus. Tengku Aqilah sedar di mata Tengku Ryan Ameer begitu membara api kebenciaan terhadap dirinya.
Tengku Hashim, bapa saudara Tengku Aqilah amat menyanyangi gadis malang ini. Manusia hanya mampu merancang namun perancangan Yang Maha Esa lebih hebat dari segalanya. Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir Tengku Hashim telah membuat satu wasiat yang telah mengubah segala-galanya. Apakah wasiat beliau itu? Mampukah Tengku Aqilah mengapai kebahagiaan dalam hidupnya? Mampukah Tengku Aqilah terus menagih kasih dari bapanya? Begitu utuhkah api kebenciaan Tengku Ryan Ameer pada Tengku Aqilah? Segalanya akan terjawab dalam novel setebal 816 mukasurat ini.

PERGILAH AIRMATA





Akan kubenarkan derai air mata ini membasuh seribu duka...
Akan kubiarkan titisnya terus menitik ke telapak tangan...
Agar kilau jernihnya sudi mendoakan sejuta bahagia untukku...
selamanya... 

Pertemuan ini tidak pernah menjadi yang terindah. Ikatan ini juga tidak pernah memberi sejuta bahagia. Lalu, apa perlu kelangsungan ini? Andai wajah ini cuma mengundang bencimu. Suara ini cuma mengundang marahmu. Tingkah ini cuma mengundang sakit di hatimu. Untuk sekali ini, akurlah pada satu pintaku…
Lepaskan aku dari belenggu air mata ini…
SABRINA

Memang pertemuan ini tidak pernah indah. Ikatan ini juga hanya membuat hati bertingkah geram. Apa perlu pada kelangsungan ini? Kerana wajah itu membuat aku teringat pada satu detik hitam yang menyakitkan. Kerana suara itu mengundang geram, apabila kau membisu saat aku perlukan suaramu. Kerana tingkahmu sering membuka prasangka demi prasangka yang membuat hatiku terus berdarah. Dan, pada pintamu yang satu itu…Maaf…Ini pilihanmu, lantas aku akan kotakan… akan aku sempurnakan titis-titis air mata itu… agar setiap titis itu akan menjadi belati yang menyakitkan… 
BADRUL…

AD + IZ




Adrianna Mayesa (Ad), si tukang jahit yang rela berkorban demi keluarga tirinya. Walaupun dirinya tidak dihargai dan sering dipergunakan, namun itulah keluarganya semenjak ibunya meninggal dunia. Apatah lagi dia tidak pernah mengenali ayah kandungnya.
Takdir hidup menemukannya dengan Tengku Farriel Izumi (Iz) melalui satu salah faham. Dia yang pada asalnya diupah untuk menyamar sebagai kekasih Iz telah menjadi isteri akibat desakan Nenda Nerrisa. Setelah bergelar suami dan isteri, barulah Iz mengecam Ad, si tomboy yang pernah menjadi seterunya ketika di zaman persekolahan dahulu.
Maka, hiduplah mereka dengan pelbagai syarat dan perjanjian. Masing-masing menyakiti hati masing-masing.
Ad dikehendaki menyambung pelajaran supaya setaraf dengan Iz yang berpelajaran tinggi. Manakala Iz dikehendaki mengurangkan saiz badannya daripada XL kepada M, supaya sepadan digandingkan dengan Ad yang slim.
Setelah menempuh hidup bersama, cinta pun mula memekar di taman hati masing-masing. Ini membuatkan Iz keliru di antara cintanya terhadap Ad atau Marina, pujaan hatinya selama ini.
Kemunculan Tengku Ihsan, sepupu Iz a.k.a. playboy diraja telah mencabar ego Iz sebagai suami Ad kerana Ihsan terang-terangan cuba mencuri hati Ad.
Demi harta, Tengku Faris (papa Iz) tegar berkomplot dengan Mak Cik Midah (emak tiri Ad) untuk memisahkan Ad dan Iz. Dia mahu Iz mengahwini Marina yang berstatus jutawan.
Akibat komplot itu, sebuah rahsia yang tersimpan kemas selama ini pecah jua akhirnya.
Siapakah Ad sebenarnya? Apa kaitannya dengan Ann, cinta pertama Iz? Berjayakah rumah tangga mereka mengharungi segala badai yang mendatang? Semuanya bakal terjawab di dalam AD+IZ.